UNDANG-UNDANG BAGI
    Persatuan Pedagang Industri Sarang Burung Negeri Johor.
    (NAMA PENUH PERTUBUHAN)


    FASAL 1 NAMA

    Pertubuhan ini dikenali dengan nama Persatuan Pedagang Industri Sarang Burung Negeri Johor.
    (Nama dalam bahasa Malaysia) Selepas ini disebut “Pertubuhan”.

    FASAL 2 TEMPAT URUSAN BERDAFTAR

    (1) Alamat dan tempat urusan berdaftar pertubuhan ialah di No. 32A, Jalan Danau 2 , Taman Desa Jaya, 81100 Johor Bahru, Johor. Atau di tempat atau tempat-tempat lain yang akan ditetapkan dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa; dan alamat untuk surat menyurat di
    No. 32A, Jalan Danau 2 , Taman Desa Jaya,81100 Johor Bahru, Johor.

    (2) Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Pertubuhan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

    FASAL 3 TUJUAN/MATLAMAT

    1. Mengelakkan dan mengeratkan perhubungan ahli-ahli cawangan daerah dalam aktiviti pembiakan dan perdagangan sarang burung walet supaya dapat mewujudkan satu sistem yang sempurna dalam pengendalian, penyeliaan, memperolehi dan menuju ke arah kemakmuran aktiviti pembiakan burung walet.

    2. Menarik minat ahli-ahli cawangan daerah meceburkan diri dalam bidang dialog, pendidikan, kebajikan masyarakat, aktiviti sosial, kebudayaan serta menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara mahupun negeri.

    3. Mewujudkan keadaan mesra antara ahli-ahli cawangan daerah persatuan dalam pengendalian dan pembangunan pembiakan burung walet.

    4. Mewujudkan keadaan muhibbah dan perpaduan sebagai prinsip utama antara kerajaan, publik dan pembiakan burung walet.

    5. Jika perlu, akan membimbing ahli-ahli persatuan terhadap polisi dan pengendalian kerajaan. Mengambil langkah positif, memberi perhatian dan sikap kerjasama terhadap masalah yang akan dihadapi.

    6. Akan memberi pemikiran, penunjuk, dan nasihat atas masalah yang terlibat kebajikan ahli-ahli.

    7. Membenarkan aktiviti membeli, memperolehi dan penyewaan harta untuk kebajikan ahli-ahli.

    FASAL 4 KEAHLIAN

    (1) a) Syarat-syarat untuk menjadi ahli adalah berumur 21 ke atas yang mempunyai aktiviti yang berkaitan dengan industri burung walet. Setiap ahli adalah layak untuk mendapatkan satu undi, menjadi calon dan boleh bertanding untuk menjadi ahli jawatan kuasa.

    b) Keahlian juga terbuka kepada syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Samada perkongsian sendirian berhad, berhad dan peniaga kecil yang berdaftar. Setiap syarikat akan mendapat satu undi dan diwakili oleh wakil yang diberikuasa oleh semua ahli pengarah syarikat. Wakil ini tidak dibenarkan untuk menjadi calon untuk ahli jawatan kuasa.

    c) Syarikat hanya dibenarkan diwakili oleh seorang pengundi. Segala penukaran wakil mesti menghantar secara surat rasmi. Ahli jawatan kuasa mempunyai kuasa muktamad untuk membuat keputusan kepada permohonan tersebut dan akan menjawab dalam masa 14 hari. Segala permohonan yang hantar selepas ahli jawatan kuasa menetapkan tarikh mesyuarat yang kurang daripada 7 hari tidak akan dilayan.

    (2) Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadangkan dan disokong oleh dua orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

    (3) Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran tahunan pertama seperti yang ditetapkan diterima menjadi ahli Pertubuhan dan berhaklah ia sebagai ahli.

    (4) Seorang pelajar Universiti atau Kolej-Universiti tidak boleh diterima menjadi ahli Pertubuhan ini kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan.

    FASAL 5 BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

    (1) Bayaran masuk dan yuran perlu dijelaskan adalah seperti berikut:

    Bayaran masuk RM 60.00 (Ringgit Malaysia)
    Yuran Tahunan RM 30.00 (Ringgit Malaysia)

    (2) Yuran tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari terlebih dahulu dalam tempoh 31 hari dari awal tiap-tiap tahun.

    (3) Ahli yang membiarkan hutang yurannya sebanyak lebih daripada jumlah yuran bagi dua bulan akan menerima surat peringatan yang ditandatangan oleh Setiausaha atau wakilnya dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dijelaskan.

    (4) Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih daripada jumlah yuran bagi tiga bulan dengan sendirinya terhenti daripada menjadi Pertubuhan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

    (5) Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.

    (6) Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan , maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran bulanan.

    FASAL 6 PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

    (1) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya.

    (2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Pertubuhan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik pertubuhan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung keahlian ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

    FASAL 7 MESYUARAT AGUNG

    (1) Pengelolaan Pertubuhan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupkan korum untuk mesyuarat.

    (2) Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa ; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Pertubuhan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

    (3) Mesyuarat Agung Tahunan bagi Pertubuhan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31 hb Mac pada tarikh masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah:

    (a) menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan pertubuhan di dalam tahun lalu;
    (b) menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun lalu;
    (c) memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan melantik pemeriksa kira-kira untuk tahun yang akan datang; dan
    (d) menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

    (4) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan suatu pengumuman yang menerangkan tarikh, waktu dan tempat mesyuarat serta satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Pertubuhan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan berdaftar Pertubuhan.

    (5) Mesyuarat Agung Khas bagi pertubuhan ini boleh diadakan:

    (a) bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau
    (b) atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang daripada satu perlima (1/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Pertubuhan.

    (6) Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada Satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

    (7) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

    (8) Fasal 8 (1) dan 8 (2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

    (9) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan deraf peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.

    FASAL 8 JAWATANKUASA

    (1) Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Pertubuhan hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan:

    Seorang Yang Dipertua
    Seorang Naib Yang Dipertua
    Seorang Setiausaha
    Seorang Penolong Setiausaha
    Seorang Bendahari
    12 orang Ahli Jawatankuasa Biasa


    (2) Pemegang-pemegang jawatan Pertubuhan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Pertubuhan ini hendaklah terdiri daripada Warganegara Malaysia.

    (3) Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai hendaklah memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.

    (4) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Pertubuhan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Pertubuhan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.

    (5) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Yang Dipertua dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum untuk mesyuarat.

    (6) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan daripada ahli-ahli Jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

    (a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa;
    (b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa
    mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan
    (c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.

    (7) Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

    (8) Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu.Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan
    diadakan.

    (9) Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan Pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Pertubuhan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Pertubuhan.

    (10) Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa .

    FASAL 9 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

    (1) Yang Dipertua, dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Setiausaha dan Bendahari.

    (2) Naib Yang Dipertua hendaklah memangku jawatan Yang Dipertua semasa ketiadaannya.

    (3) Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Pertubuhan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah mesyuarat agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah kediaman tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Yang Dipertua dan Bendahari. Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari daripada tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirimkan penyata tahunan Pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pertubuhan, 1996.

    (4) Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerja dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.

    (5) Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Pertubuhan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Yang Dipertua dan Setiausaha.

    (6) Ahli-ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah menghadir semua mesyuarat dan membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.

    FASAL 10 KEWANGAN
    (1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini wang Pertubuhan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Pertubuhan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

    (2) Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 2,000,00 (Ringgit Malaysia : 2,000,00 ) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Pertubuhan.

    (3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Pertubuhan hendaklah ditandatangani bersama oleh Yang Dipertua. Setiausaha dan Bendahari. Semasa ketiadaan Yang Dipertua, Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Pertubuhan.

    (4) Perbelanjaan berjumlah RM 50,000,00 (Ringgit Malaysia : 50,000,00 )dan ke bawah bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM 50,000,00 (Ringgit Malaysia : 50,000,00 ) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapatkan kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 5,000,00 (Ringgit Malaysia : 5,000,00) bagi sesustu masa boleh diluluskan oleh Yang Dipertua bersama-sama dengan Setiausaha dan Bendahari.

    (5) Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-kira yang dilantik di bawah Fasal 12 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan berdaftar Pertubuhan .

    (6) Tahun kewangan Pertubuhan ini bermula dari 1 hb Januari dan berakhir pada 31 hb Disember tiap-tiap tahun.

    FASAL 11 PEMERIKSA KIRA-KIRA

    (1) Dua orang yang bukannya Pegawai Pertubuhan boleh dalantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-kira. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.

    (2) Pemeriksa kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Pertubuhan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Yang Dipertua mengaudit kira-kira Pertubuhan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.

    FASAL 12 HARTA TIDAK BOLEH DIALIH

    (1) Harta tidak boleh dialih tanpa kebenaran dari ahli jawatan kuasa tertinggi ini hendaklah didaftarkan atas nama Persatuan Pedagangan Industri Sarang Burung Daerah Kota Tinggi, Negeri Johor dan segala suratcara yang berkaitan dengan harta ini adalah sah dan berkuatkuasa seolah-olah suratcara-suratcara itu telah disempurnakan oleh seorang tuanpunya berdaftar dengan syarat bahawa suratcara-suratcara itu adalah disempurnakan oleh tiga (3) orang pemegang jawatan iaitu Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari yang ada pada masa itu dan perlantikan mereka adalah disahkan oleh suatu perakuan daripada Pendaftar Pertubuhan dan dimeterikan dengan meteri.

    (2) Harta tidak boleh dialih, tidak boleh dijual, digadai, ditarik balik atau ditukarkan milik dengan tidak ada persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh mesyuarat agung ahli.

    FASAL 13 TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

    (1) Di antara berlangsungnya mesyuarat agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.

    (2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar
    yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan mesyuarat agung.

    FASAL 14 PENASIHAT/PENAUNG


    Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat/Penaung bagi Pertubuhan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis terlebih dahulu.

    FASAL 15 LARANGAN

    (1) Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Pertubuhan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game, billiard, snooker, permainan video, permainan komputer dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib;

    (2) Pertubuhan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definasi di dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959;

    (3) Pertubuhan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Pertubuhan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan;

    (4) “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Pertubuhan kepada mana-mana ahlinya.

    FASAL 16 PINDAAN UNDANG-UNDANG

    Undang-undang ini tidak diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari daripada tarikh keputusan mesyuarat agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

    FASAL 17 PEMBUBARAN

    (1) Pertubuhan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi di dalam suatu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya.

    (2) Sekiranya Pertubuhan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Pertubuhan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujuikan di dalam mesyuarat agung berkenaan.

    (3) Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.


    _____________________
    Yang Dipertua / Setiausaha
    Nama:
    No. 32A, Jalan Danau 2